SEJARAH SEKOLAH


LIPATAN SEJARAH THREE RIVERS

Pendahuluan

Kejayaan tidak datang bergolek. Perjalanan menuju kemuncak kejayaan adalah sesuatu yang amat mencabar dan ia bermula daripada langkah menyemai benih hingga kepada langkah menuai hasilnya. Sesungguhnya ,terlalu banyak onak dan duri perlu dihadapi sebelum merintis kejayaan.

SMK Three Rivers, Mukah adalah satu nama yang telah mengorak langkah sedikit demi sedikit dalam bidang pelajaran hingga berjaya meraut kejayaan demi kejayaan  meninggalkan salah tanggapan lama yang menganggap kejayaan tidak mudah dijangkaui.

Permulaan Yang Sederhana

Sejarah Sekolah Menengah Three Rivers bermula pada awal tahun 60on. Sejak diasaskan pada tahun 1961 oleh Kerajaan Kolonial British, Three Rivers telah menjadi salah sebuah sebuah sekolah terbaik dan terkenal di negeri Sarawak.Pelajar rintis seramai 33 orang adalah pelajar yang datang dari daerah Mukah sendiri, Matu, Igan,Oya, Paloh dan Balingian. Mereka ditempatkan di dua buah lokasi yang berasingan. Mereka yang berada di Kelas Peralihan ditempatkan  di Dewan Perniagaan Cina manakala mereka yang berada di Tingkatan 1 di  Kelab Belia Mukah.

          En.Thomas Bazely, seorang guru di bawah Rancangan Colombo (Colombo Plan) dari Australia adalah pengasas dan merupakan pengetua pertama SMK Three Rivers. Beliau telah dibantu oleh tiga orang guru berbangsa cina iaitu Kuan Ik Hung, S.M.Mong dan Arthur Chiew. Mereka telah sama-sama membantu membawa bibit-bibit kejayaan kepada Three Rivers.

Dalam tahun 1962, sekolah hanya mempunyai beberapa buah bilik darjah, makmal sains, asrama, kuarters guru dan satu taman permainan telah dibina. Bangunan baru ini telah dibuka dengan rasminya pada bulan Julai 1962 oleh Pengarah Pelajaran ketika itu, En. Dickson. Pada tahun yang sama, Chester Tesarowski, sorang guru di bawah ‘Colombo Plan’ dari Kanada telah menggant/mengambil alih tempat En.Thomas Bazely.

Pada tahun berikutnya, sebuah zoo mini telah dibina sebagai penambahan kepada barisan bangunan yang lain yang melengkapkan sekolah Three Rivers.. Zoo yang dihiasi dengan pokok bunga dan pokok-popkok yang lain itu adalah adalah antara projek-projek yang telah dibina oleh pelajar untuk mencipta satu ruang/ persekitaran yang hidup dan kondusif .Pelajar Rintis yang ketika itu dalam Tingkatan 3 telah pertama kali menduduki peperiksaan ‘Sarawak Junior Certificate(SJC) di Three Rivers. Pada penghujung berkenaan, sekolah telah mengadakan Hari Graduasi dan Majlis Penyampaian Hadiah. Pada tahun 1963 juga ‘MUTIARA’ majalah popular sekolah telah mula muncul.

Detik Manis Dan Mr.Crocodile

Tahun 1964 dan 1965 merupakan membawa banyak detik manis buat Three Rivers. Banyak projek telah diimplimentasikan untuk memenuhi keperluan pelajar. Sekolah telah mencapai kelulusan 100% dalam peperiksaan awam, Sarawak Junior Certificate. Pelajar mula mengorak langkah memasuki Tingkatan 4 dan sesi pembelajaran untuk Tingkatan Empat bermula.

Dua peristiwa berlainan tetapi signifikan dengan sekolah menjadi catatan dalam sejarah Three Rivers berlaku pada tahun ini. Ini menambah kegirangan dan kebangaan pada sekolah dan juga pelajar. Peristiwa paling bersejarah ialah apabila Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak telah melawat ke SMK Three Rivers.

Seiring dengan ketika dibina sebuah taman bunga ditepi kolam ikan sekolah, pada tahun yang sama, warga sekolah amat bergembira apabila seorang ahli perniagaan telah menghadiahkan sekolah dengan seekor kuda yang diberi nama ‘Mr.Crocodile’.

Pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 1966, Mr.Ferguson yang juga berasal dari Kanada telah mengambil alih tugas pengetua ketika itu iaitu Mr.Chester Tesarowski. Kumpulan Tingkatan Lima rintis memulakan sesi pembelajaran mereka. Pada tahun 1970, Mr.Ferguson kemudiannya diganti oleh Paul Ngui yang merupakan Pengetua dari golongan orang tempatan yang pertama.

Kuasa Gergasi Dalam Sukan

SMK Three Rivers, menjadi gergasi yakni satu kuasa besar baru dalam arena sukan di Sibu yang kemudiannya dipanggil bahagian ketiga antara tahun 1967 hingga 1970. Sekolah berjaya merangkul kejayaan dalam hampir semua bidang sukan. Sekolah mencatat kemenangan yang sangat membanggakan dan mendominasikan kejayaan terutama dalam kejohanan olahraga dan bola keranjang peringkat bahagian sehingga tahun 1970. Dua daripada pemain bola keranjang sekolah telah dipilih untuk mewakili Sibu ke pertandingan seterusnya.

Ketika sekolah mencatat kecemerlangan dalam arena sukan, pada masa yang sama, beberapa perubahan juga berlaku di sekolah. Sekolah telah berkembang dengan pesat di mana dewan makan telah diperbesarkan untuk menampung jumlah pelajar asrama yang semakin bertambah di samping pembinaan makmal sains baru dan 14 buah bilik darjah. Pelajar SMK Three Rivers ketika itu telah meningkat sebanyak 515 oran sementara jumlah kakitangan akademik bertambah kepada 20 orang.

        Pada tahun 1970-an , SMk Three Rivers mengalami pertukaran pengetua secara bersambungan(berturut-turut). Mr.Lim Ah Lek mengambil alih tempat En. Paul Ngui dan kemudiannya digantikan pula oleh Mr.Edward Chieng dalam tahun 1974. Mr.Tang Nguong Sam menjadi pengetua 1976 dan pada tahun 1977, tempat itu digantikan pula oleh Mr.Ang Tien Tze yang kemudiannya diambil alih oleh En. Bujang Hadzri Hj.Ulis.. Tempat pengetua seterusnya diambil alih oleh En. Yusof Samat apabila En.Bujang Ulis meletak jawatan dan dipilih untuk menjadi Ahli Parliamen/ Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Simunjan.

        SMK Three Rivers semakin sibuk dan berkembang. Pada tahun 1975, dua sesi persekolahan telah dimulakan untuk menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1977, seramai 36 orang pelajar Tingkatan Lima telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kuching. Ini merupakan lawatan sambil belajar ke luar kawasan (Mukah) yang pernah diadakan oleh sekolah.

            Pada tahun 1978, majalah sekolah “ The Pearl “ telah diberi nama baru iaitu ‘ Tiga Dimensi ‘ sejajar dengan cogan kata ‘ Mind, Body, Spirit ‘  yang menjadi tunjang dan harapan kepada pelajar-pelajar Three Rivers. Pada tahun 1979, En.Kang Siew Hai telah meletak jawatan sebagai guru di sekolah setelah mengajar selama 16 tahun di sekolah ini. Pada tahun yang sama, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SMK Three Rivers telah ditubuhkan di sekolah ini bertujuan untuk menghubungkan sekolah dengan masyarakat di luar. Pada tahun ini juga, sekolah telah memperkenalkan “ Compulsory Sport Scheme ” (Skim Sukan Wajib) iaitu skim yang mewajibkan para pelajar memilih bidang sukan pilihan mereka sendiri. Di sini, para pelajar diperuntukkan satu sukan atau permainan pada satu minggu manakala minggu yang lain pula ditukar dengan sukan yang lain. Fokus utama skim ini ialah untuk membolehkan seseorang pelajar itu benar-benar mengenali dan menguasai kemahiran sesuatu permainan serta meningkatkan standard bermain agar prestasi dan mutu sukan di SMK Three Rivers terus mencapai tahap kualitii yang tinggi.

Detik Perjalanan Tahun 1980an

Tahun 1980an adalah satu lagi era gemilang buat Three Rivers kerana pada tahun ini, pelbagai kejayaan dan kecemerlangan dicapai oleh Three Rivers. Sekolah mempunyai dua sesi pembelajaran. Tingkatan 4 dan 5 menuntut pada sesi pagi manakala pelajar Tingkatan 1,2 dan 3 belajar pada sesi petang. Cikgu Kipli Abdullah telah dilantik menjadi Penyelia Petang ketika itu. Sekolah menyertai Pertandingan Bola Sepak Emas Yayasan Sarawak di mana pasukan senior sekolah telah mendapat tempat Naib Johan manakala bahagian Junior mendapat tempat ketiga.

            Tahun berikutnya, sekolah di bawah pimpinan En. Mortadza Hj.Alop, telah mendapat kedudukan tiga terbaik dalam peperiksaan SPM Sarawak. Di samping memberi perhatian pada aspek akademik, keperluan rohani pelajar juga dititikberatkan oleh pelajar, guru dan juga kakitangan sekolah. Bertitik tolak daripada itu, mereka telah bergotong-royong membina sebuah surau untuk kegunaan pelajar-pelajar Islam menjalani ibadah harian mereka. Tangki air baru turut dibina ketika itu.

         Bagi melengkapkan kemudahan prasarana sekolah, sebuah kantin baru telah dibina sekitar tahun 1982. Pada tahun yang sama, sekolah telah memperoleh seekor lembu yang kemudiannya diberi nama ‘Bujang’. Ketika itu juga, majalah sekolah telah berubah corak kepada bentuk album.
          Projek pembinaan yang lebih rancak telah dilaksanakan antara tahun 1984 dan 1985 untuk memenuhi keperluan yang semakin bertambah di samping menyediakan kemudahan dan persekitaran tempat belajar yang lebih kondusif. Semua projek tersebut telah diselaraskan oleh pengetua baru, Drs.M.Ibrahim Shah serta penolongnya En.Ridwan Othman. Gelanggang Badminton sekolah telah dinaiktarafkan menjadi Dewan Badminton. Dewan ini telah siap sepenuhnya pada tahun 1984.

           Setelah gelanggang badminton bertukar wajah menjadi Dewan Badminton, beberapa projek lain pula menyusul. Pagar baru sekolah dan Dewan Ping Pong di bawah kelolaan En. Arthur Chang dengan bantuan guru-guru lain serta pelajar juga siap dibina. Pada tahun 1985, banyak projek kilat dilaksanakan termasuk pembinaan sebuah makmal baru, sebuah bilik khas untuk Pusat Sebaran Pendidikan dan beberapa blok asrama. Setelah semua projek pembinaan siap, barulah sekolah mampu untuk kembali melaksanakan satu sesi persekolahan.

         Setahun berikutnya iaitu pada tahun 1986, Drs.M.Ibrahim Shah telah ditukarkan ke SMK Tun Abang Hj.Openg, Kuching. Tempat beliau telah digantikan oleh En.Bedui Une, seorang nazir sekolah dari Bahagian Keempat ketika itu. En, Bedui telah memperkenalkan Sistem Merit dan Demerit (‘Merit And Demerit System) kepada sekolah bertujuan untuk meningkatkan mutu disiplin pelajar serta sebagai langkah menjaga reputasi sekolah. Beberapa projek lain juga dilaksanakan pada tahun tersebut termasuk pameran  ‘ Shell Suitcase ’, Kempen Kewarganegaraan dan Minggu Orientasi Tingkatan 1 dan sebagainya. Satu daripada projek yang memberi kesan kepada sekolah ialah ketika sekolah mengadakan Jubli Perak secara besar-besaran pada 25 Oktober 1986.

           Pada sekitar bulan Disember 1987, En. Bedui Une ditukarkan ke Jabatan Pendidikan Bahagian Sibu dan tempat beliau digantikan oleh En. Sahdi Ken Bin Kifli.Berikutnya iaitu pada tahun 1988, sebuah flat guru telah siap dibina. Sebuah stadium mini juga telah didirikan di tapak padang lama bersebelahan dengan Lapangan Terbang Mukah. Walaupun padang tersebut tidak berada di dalam kawasan sekolah, pelajar-pelajar dibenarkan untuk meggunakan trek balapan,Dalam tahun yang sama, sebuah asrama iaitu asrama Rejang ditutup kerana faktor keadaannya yang sudah terlalu uzur.

Era Perubahan Dan Pembangunan (ERA OF CHANGE AND DEVELOPMENT)

Sekolah memasuki gerbang 1990an. Ini adalah era perubahan dan pembangunan pesat bagi SMK Three Rivers ketika mana sekolah telah mencapai berbagai-bagai kejayaan. Pada tahun 1990, sekolah menerima satu lagi projek besar iaitu projek pembinaan bangunan baru yang telah menelan belanja RM3.9 juta. Projek yang dibahagikan kepada tiga fasa ini dijangka siap dalam tempoh 15 bulan dan ia mencapai sasarannya. Fasa 1 meliputi pembinaan tiga blok asrama dan satu blok tiga tingkat untuk proses pembelajaran telah siap dibina pada 22 September 1992.

            Fasa kedua yang meliputi makmal, dewan makan, tandas lelaki, kantin, tempat letak basikal, tandas perempuan, telah lengkap dibina pada pertengahan tahun 1993. Manakala Fasa Ketiga yang terdiri daripada dewan baru, asrama perempuan dan surau telah siap dibina pada awal tahun 1994. Dalam bulan Jun 1992, dalm kesibukan menanti pembangunan prasarana baru, Three Rivers menerima kehadiran pengetua  baru, Cik Yong Oi Lin yang merupakan pengetuan wanita pertama di Three Rivers mengambil alih tugas En.Sahdi Ken yang ditukarkan ke Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).

          Pada tahun 1993, Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan format Kurikulum Baru Sekolah Menengah(KBSM) telah diperkenalkan menggantikan peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran) dan ini sekaligus membuat pertukaran pada Sijil SPM. Syarat pemberian Sijil SPM diperketatkan mengikut syarat baru yang berorientasikan KBSM. Pada tahun yang sama, Tingkatan Enam Rendah mula diperkenalkan.

        Jumlah tenaga pengajar dan pelajar Three Rivers bertambah secara drastic pada tahun 1994. Ketika ini, sekolah mempunyai 72 orang guru dan 1172 orang pelajar. Ramai antara pelajar terlibat secara aktif dalam bidang sukan dan aktiviti akademik masing-masing sama ada di peringkat bahagian mahupun di peringkat negeri. Dalam bidang sukan, pelajar Three Rivers telah menunjukkan prestasi tinggi terutama dalam permainan bola sepak, sepak takraw, dan dalam bidang olahraga serta merentas desa. Pelajar-pelajar juga mengambil bahagaian dalam dalam pelbagai pertandingan seperti pertandingan perbahasan dan sebagainya. Sekolah telah pernah muncul juara dalam pertandingan Pidato Peringkat Bahagian Ketiga dan seterusnya mendapat tempat kedua (Naib Johan) dalam pertandingan bahas Peringkat Negeri Sarawak.

            Kenangan manis juga bagi SMK Three Rivers apabila pada tahun 1995, memegang gelaran juara bahas Piala Ketua Menteri. Pembahas sekolah ketika itu terdiri daripada Abd.Faizal Abd.Rahman, Sulhi Mohd.Kadir, Faridah Dra dan Alexander Edward. Sekolah lebih berbangga apabila Abd.Faizal diisytiharkan sebagai pembahas terbaik untuk kali kedua secara berturut-turut. Siring dengan itu, sekolah juga tidak terlepas daripada mendapat kemenangan dalam kejohanan bola sepak. Ketika itu, pasukan MSSM SMK Three Rivers, telah menjadi Juara Bahagian Sibu.

       Kejayaan Three Rivers berterusan hingga ke tahun berikutnya. Three Rivers dianugerahkan Sijil Kecemerlangan Akademik kerana mencapai keputusan cemerlang berdasarkan peratusan pelajar mendapat Pangkat 1 dalam peperiksaan SPM. Ketika itu, Three Rivers merupakan salah sebuah sekolah yang mencatat keputusan cemerlang di peringkat negeri dan pencapaiannya mengatasi peratusan kelulusan peringkat kebangsaan 1999 bagi kategori sekolah luar Bandar. Sekolah juga menerima Sijil yang sama apabila mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM 1999 dengan lebih 40% calon lulus 5 mata pejaran peringkat prinsipal.

            Bagi memberangsangkan lagi pelajar untuk mendapat keputusan cemerlang dalam pembelajaran, sekolah telah menyertai pelbagai program akademik seperti Program Perkhemahan Kecemerlangan Pelajar anjuran Kumpulan Anak-anak Sukarelawan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang(USM) dan sebagainya.

            Three Rivers dikenali sebagai sekolah berwatak ‘BOLA SEPAK’ apabila seterusnya mencapai kemenangan dalam pertandingan bola sepak sekolah-sekolah Kategori Umur Terbuka 2000. SMK Three Rivers telah merangkul Juara untuk peringkat Bahagian dan Negeri serta seterusnya mewakili Negeri Sarawak ke kejohanan peringkat kebangsaan di Negeri Sembilan. Walaupun tidak merangkul kejuaraan di peringkat kebangsaan, sekurang-kurangnya sekolah berbangga kerana pemain yang mewakili sekolah berpeluang sampai ke tahap tersebut.

            Dalam kerancakan menjuarai beberapa pertandingan terutama dalam bidang sukan ( Bola Sepak dan Olahraga), pada tahun yang sama, Three Rivers mula memasuki era digital apabila dipilih menjadi salah sebuah sekolah SEKOLAH BESTARI di bawah rancangan pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. Pelbagai peralatan Infrastruktur Teknologi IT telah dibekalkan ke sekolah mulai tahun 2000. Sekolah mula menggunakan Sistem Pengurusan Sekolah Bestari di tahap sederhana aktif. Pelajar-pelajar dan guru mula mengenali secara lebih dekat tentang dunia ICT.
 Tahap kemahiran menggunakan peralatan IT termasuk penggunaan internet sebagai sumber luaran untuk proses pengajaran pembelajaran semakin meningkat. Warga sekolah lebih peka dengan penggunaan peralatan infrastruktur IT untuk memudahkan kerja dan pelajar-pelajar mula berjinak dengan pertandingan-pertandingan yang dinjurkan secara dalam talian seperti pertandingan membina laman web dan reka cipta Intel dan sebagainya di peringkat kebangsaan. Ekoran daripada itu, sekolah berbangga apabila pada tahun 2002, sepasukan pelajar yang menyertai pertandingan membina laman web anjuran Telekom Smart School (getcybered.com) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia khusus untuk sekolah bestari telah disenaraikan sebagai Kesepuluh Terbaik (Top Ten). Setelah bertungkus- lumus melalui tiga peringkat penyediaan laman web yang bertajuk ‘Kebudayaan Kaum Melanau Di Negeri Sarawak’, pelajar yang terdiri daripada Desmond Sim, Ahmad Faisal Kamaruzaman, Abd Aziz Brahim dan Anuar Mohd.Noor merasa usaha mereka berbaloi apabila dipanggil ke Kuala Lumpur untuk menerima hadiah kemenangan.

          Pada tanggal 27 Mei 2000, bekas-bekas pelajar Three Rivers telah mengadakan satu perjumpaan (‘gathering’) berpusat di gelanggang sekolah. Sekitar tahun yang sama, pasukan pengakap sekolah diketuai oleh Cikgu Jol Una telah menyertai Jamboree Pengakap Kebangsaan yang berpusat di Kem Matang, Kuching selama seminggu. Ini memberi banyak pendedahan kepada pelajar tentang kemahiran berpengakap dan berkomunikasi antara ahli pengakap yang datang dari seluruh negara.

          Merentas ke era melanium, sekolah banyak dipertanggungjawabkan untuk menganjur pelbagai jenis aktiviti. Sekolah di bawah kepimpinan Tn.Hj.Rambli Zainudin ketika itu, memang aktif menganjurkan beberapa aktiviti kurikulum dan ko kurikulum sama ada di peringakat daerah, bahagian mahupun aktiviti peringkat negeri. Pada tahun 2001, Three Rivers telah menjadi Tuan Rumah Karnival Seni Pendidikan Pencegahan Dadah dan Karnival Sains dan Teknologi untuk kedua-dua peringkat iaitu Peringkat Bahagian dan Negeri. Dalam karnival ini, sekolah telah memnangi beberapa pertandingan yang disertai seperti penyediaan Buku Skrap dan sebagainya. Kemenangan pada peringkat negeri telah membawa pelajar, Malvin Michael untuk mempertaruhkan Buku Skrap Kerjayanya di peringkat Kebangsaan di Melaka.

          Pada tahun yang sama, SMK Three Rivers juga telah menganjur Kejohanan Bola Sepak Piala Coca Cola dan Piala Emas Yayasan Sarawak Peringkat Bahagian dan Negeri. Dalam pertandingan tersebut, sekolah telah mendapat Naib Johan di peringkat Bahagian. Walau bagaimanapun, beberapa orang pemain sekolah telah disenaraikan untuk menyertai Piala Coca Cola dan Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak peringkat Negeri Sarawak. Seterusnya, 4 orang pemain sekolah telah dipilih untuk menyertai Pesta Permainan Perbatasan Antara Pelajar-pelajar Malaysia-Indonesia di Kalimantan Barat.

          Kejayaan Three Rivers merangkul beberapa kejayaan dalam bidang ko kurikulum terus menyerlah terutama dalam bidang olahraga. Dalam tempoh beberapa tahun daripada tahun 2000 hingga sekarang 2005, sekolah telah mendapat kejayaan cemerlang dalam beberapa acara khususnya acara balapan dan kejohanan rentas desa. Beberapa orang atlet berpotensi daripada Three Rivers hampir setiap tahun muncul juara dan mereka dipilih untuk mewakili Bahagian di peringkat negeri dan seterusnya sehingga ke peringkat Kebangsaan. Di samping itu, kejayaan dalam bidang ko kurikulum lain juga tidak diabaikan. Selain pencapaian Koku, Three Rivers juga mampu menghasilkan pelajar yang berjaya dalam karier masing-masing setelah keluar daripada pusat-pusat pengajian tinggi awam dalam dan luar negara. Produk yang dihasilkan daripada pelajar rintis hingga sekarang merupakan aset kepada Three Rivers yang mampu membawa nama sekolah ke persada antarabangsa.

1 comments:

  1. Tahniah atas segala kelengkapan perincian maklumat penambahan binaan bangunan yang boleh membantu sejarah ke wujudan sekolah berkenaan... Syabas..

    ReplyDelete